Sunday, May 10, 2009

Selamat Pengantin Baru Ewan & Ju
















Kebetulan jatuh pada hari ibu semalam, aku dapat job ambil gambar orang bersanding di Tanjong Karang. Pihak lelaki. Kira majlis menyambut menantu la ni... Maka aku terbabit mengabadikan saat indah kedua mempelai ni melalui bidikan kamera aku.





Kesian rombongan pengantin ni. Datang dari jauh. Nun dari Felda Mempaga 2, Pahang. Sampai di Tanjong Karang dah tengah hari. Berpeluh-peluh mereka semua. Almaklum sahajalah, sekarang ni musim panas yang melampau. Terpaksalah menahan perit dimamah mentari. Dalam pada itu aku yang bersyukur sebenarnya. Cahaya yang cukup terang membolehkan aku mendapatkan gambar yang cantik tanpa menggunakan flash light yang berkuasa tinggi.





Apa yang menariknya dalam majlis di sini adalah semangat gotong-royong yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Mereka memasak hidangan kenduri secara kerjasama. Jarang diamalkan pada masa kini kerana kebanyakan tuan rumah lebih cenderung menggunakan khidmat caterer.





Selesai shooting jam 4, aku cepat-cepat membungkus segala peralatan kamera aku. Aku perlu bergegas pulang untuk pergi ke rumah mak aku. Sambutan Hari Ibu aku buat bersama adik beradik yang lain sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ibu terhadap kami semua. Tak ternilai harganya...





Selamat Hari Ibu, mak. Kami semua sayangkan mak.....





Saturday, May 9, 2009

TRADISI MASIH BERTERUSAN
















Hari ni aku berpeluang untuk merakamkan detik-detik tradisi yang semakin ditinggalkan zaman. Upacara marhaban dan berzanzi, jarang-jarang amalan ini kita lakukan dalam zaman serba moden ini. Dengan sedikit unsur kontemporari, upacara ini mendapat sedikit suntikan agar tidak hilang ditelan zaman.





Jika dahulunya endoi (buaian) menggunakan kain batik lepas dihiasi dengan bunga-bunga dan reben, kini dengan suntikan kontemporari buaian yang digunakan dihiasi dengan gula-gula yang sudah semestinya mendapat perhatian kanak-kanak.





Apa yang menarik perhatian, penggunaan kelapa yang digunakan untuk meletakkan rambut bayi yang digunting. Ada pelbagai pendapat mengenai tujuan penggunaan kelapa ini. Antaranya bertujuan agar rambut bayi nanti tumbuh subur dan lebat selain menyejukkan kepala.





Apapun aku sangat beruntung dapat merakamkan aksi yang jarang-jarang diberi perhatian oleh masyarakat melayu pada masa ini. Lebih membuatkan peluh jantan aku memercik adalah kerana aku terpaksa menyelitkan diri dalam kalangan kumpulan berzanzi ini. Ruangan yang terhad menyebabkan aku terpaksa menggunakan segala pengalaman agar setiap shot yang diambil dapat memberikan erti dan kepuasan kepada mereka yang menatapinya.





Salam dan jumpa lagi.......