Thursday, August 12, 2010

Cawangan Trafik PDRM Cuai!



Mungkin entri kali ini agak berbeza dengan entri-entri yang lain. Tetapi hakikatnya ia masih berkaitan dengan gambar dan kamera. Gambar yang telah menganiayai hidup aku.

Awal tahun tempohari, aku menerima sepucuk surat saman ekor. Tertera di situ aku telah disyaki melakukan kesalahan memandu laju. Pada mulanya aku hanya ketawa sahaja apabila membacanya. Apa tidaknya, plat kereta yang tertera di situ adalah plat kereta lama aku yang dah tersadai menjadi tugu depan rumah aku. Sudah hampir 4 tahun kereta ini tidak bergerak. Mana mungkin kereta tersebut boleh berada di jalan raya.

Nak dijadikan cerita, aku hendak menghidupkan cukai jalan kereta baharu aku yang akan tamat tempoh. Insuran berjaya aku beli. Apabila hendak mendapatkan cukai jalan, aku didapati black listed ekoran satu saman yang tidak berbayar. Aku menjadi bingung dan keliru. Dalam saman terang-terang dinyatakan aku disyaki, belum sabit kesalahan. Mana boleh aku dihukum dengan menyenarai hitamkan nama aku. Ini sudah melampau!

Untuk tidak memanjangkan cerita, aku bercadang membayar sahaja saman tersebut. Biarpun dalam hati kecil ini tidak akan menghalalkan satu senpun daripada wang yang akan terbang itu nanti. Apa yang penting bagi aku, cukai jalan kereta baharu aku dapat dikeluarkan segera memandangkan kesibukan jadual kerja aku. Namun atas desakan isteriku, aku akhirnya mengambil keputusan untuk mencabar saman tersebut.

Aku dan famili aku bergegas ke IPD Bentong. Untuk pengetahuan semua, salinan gambar hanya boleh diperoleh daripada cawangan yang mengeluarkan saman. Aku sampai di sana jam 3.30 petang. Aku ke kaunter untuk mendapatkan salinan gambar. Dalam hati ini tertanya-tanya kereta apalah yang dah menggunakan plat aku. Setelah salinan diperolehi, alangkah menyirapnya darah aku. Apa tidaknya, gambar dan nombor plat kereta dalam gambar tersebut berbeza dengan plat aku.

Aku sudah hilang sabar. Dengan suara yang agak tinggi aku jeritkan pada seluruh balai bahawa aku telah dianiayai. Aku menjadi bertambah berani apabila orang yang turut ada di situ untuk membayar saman, sama-sama menyokong aku. Aku minta saman aku dibatalkan. anggota polis yang ada di balai tersebut berkata, tuan OC tiada dipejabat waktu tu. Maka aku terpaksa melalui prosedur biasa yang memakan masa seminggu lamanya. Aku semakin hilang sabar walaupun cuba ditenangkan oleh anggota yang ada di situ. Yang lebih menyakitkan hati, ada juga kalangan anggota yang tidak tahu bahawa black list sekarang melibatkan nombor kad pengenalan. Alangkah dangkalnya pengetahuan anggota penguatkuasa yang berpegang kepada cogan kata mesra, cepat dan betul. Betul apa bendanya kalau membaca nombor plat pun salah.

Aku bertegas agar mereka membuat salinan gambar tersebut. Namun ada seorang anggota yang menyatakan aku tidak perlu mendapatkan gambar tersebut kerana telah wujudnya kesilapan. Setelah berkeras dan menyatakan hak aku untuk mendapatkan gambar tersebut baharulah dia mengalah.

Tidak berapa lama kemudian, tuan OC sampai di balai. Aku dipanggil untuk mengadapnya. Setelah mendengar penjelasan aku, dengan hanya satu cop dan tandatangan, saman aku dibatalkan. Senangnya.... Kenapa aku terpaksa menunggu hampir 2 jam.

Akhirnya aku mendapat resit bayaran saman. Tertera di situ amaun sebanyak RM0.00. Yang paling menyakitkan hati pada resit saman tersebut terulis human error. Senangnya mereka ini menyelesaikan masalah.. Apa yang aku kesalkan, betapa angkuhnya mereka tanpa menyatakan perkataan maaf pun atas kesalahan yang ternyata pihak mereka lakukan.

Anda semua nilailah integriti kerja mereka yang mendakwa sebagai penguatkuasa undang-undang ini......

2 comments:

  1. wah..ni kisah best ni. selalunya dengar dari orang je.

    kan best kalau ramai orang tau citer ni.

    ReplyDelete
  2. Elok buat begitu, biar padan muka polis tu...Pasal aku penah tekena kes yang sama. Kalau aku nak cerita mmg la panjang, dipendekkan cerita, aku terpaksa ke Ibupejabat Bukit Aman, setelah berpusing-pusing dari balai ke balai, Balai Damansara, Balai apa ntah sebelah TV3 tu....sampai kat Bukit Aman.....dia kata apa...nak tau...Kereta yg ada kes ni Honda Accord, tapi kereta encik ni Gen 2, cuma no plat sama....jadi bukan kereta encik la...lantas dicop DIBATALKAN...Begitu mudah diaorang meneyelesaikan masalah...Tiada sebarang maaf pun diaorang ucap. Setelah seminggu aku berulang alik RIMV petaling, dari balai ke balai dan akhirnya ke Bukit Aman...cuma satu cop saja selesai masalah tanpa memikirkan susah payah org. Memang polis2 ni CUAI BUAT KERJA, tak sepatutnya dapat naik gaji. Buat keje apa macam tuuuu....Peeeeeraahhh

    ReplyDelete